lamantaqwa

"sama-samalah kita berdoa moga-moga bertambah-tambah rasa cinta kita kepada Allah, bertambah-tambah rasa hampirnya kematian dan bertambah-tambah rasa tak cukup masa untuk beribadat dan menyucikan dosa..moga-moga dengan rasa-rasa sebegitu dalam diri kita akan lebih bersedia untuk menemui PENCIPTA"

Saturday, March 18, 2006

Tazkirah
DOA SEWAKTU BERSUJUD DAN KEISTIMEWAANNYA

Sewaktu bersujud, kita berada amat hampir dengan Allah SWT. Katakanlah apa sahaja di dalam hati hajat kita sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang biasa memanjangkan sujudnya dengan memperbanyakkan zikir dan doa didalamnya.
Sabda Rasulullah SAW :
"Suasana yang paling hampir antara seseorang hamba dengan Tuhannya ialah di kala ia bersujud kerana itu hendaklah kamu memperbanyakkan doa di dalamnya."
Banyak doa yang diamalkan oleh Rasulullah SAW untuk kita ikuti. Salah satunya yang paling baik untuk diamalkan ialah doa yang dibaca sewaktu sujud akhir dalam solat.
"Ya Allah, tambahkanlah bagiku rezeki yang banyak lagi halal, imam yang benar, ilmu yang bermanfaat, kesihatan yang elok, kecerdikan yang tinggi, hati yang bersih dan kejayaan yang besar."
Semoga dengan mengamalkan doa itu kita mendapat manfaat atau sekurang-kurangnya menjadi cita-cita kita dalam mencari keredhaan Allah SWT dunia dan akhirat.
Banyak kelebihan memanjangkan sujud dan memperbanyakkan doa di dalamnya. Rasulullah SAW biasa berbuat begitu sehingga pernah para sahabat hairan kerana lamanya baginda bersujud.
Keistimewaan umatnya yang bersujud telah disebut oleh baginda dalam sabdanya yang bermaksud:
"Tiadalah ada seorang umatku melainkan aku yang akan mengenalinya di hari kiamat"
Mendengar itu para sahabat bertanya:
"Bagaimanakah engkau dapat mengenali mereka dalam khalayak ramai wahai Rasulullah?"
Jawab baginda:
"Tidakkah engkau melihat seandainya sekumpulan unta dimasuki oleh seekor kuda yang amat hitam, sedang di dalamnya pula terdapat sekor kuda putih bersih, maka adakah engkau tidak dapat mengenalinya?"
Sahabat Menjawab:
"Bahkan !"
Rasulullah menyambung:
"Kerana sesungguhnya pada hari itu (kiamat) muka umatku akan putih (berser-seri)disebabkan mereka bersujud (di dunia), segala anggota mereka (terutama anggota wudhu') putih berseri-seri oleh cahaya wudhu' !!!"
KEISTIMEWAANNYA-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Ahli neraka juga mendapat keselamatan kerana bekas sujudnya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Apabila Allah hendak melimpahkan Rahmat (kebaikan) kepada ahli-ahli neraka yang Dia kehendaki, Dia pun memerintahkan malaikat supaya mengeluarkan orang-orang yang menyembah Allah, lalu mereka dikeluarkan dan mereka dikenali dengan kesan-kesan sujud (di dahi mereka), di mana Allah menegah neraka memakan (menghapuskan) bekas-bekas sujud itu, lalu mereka pun keluar dari neraka, maka setiap tubuh anak Adam akan dimakan api neraka selain bekas sujud."
Begitulah Allah SWT memuliakan hamba-Nya yang bersujud. Orang yang sujud mendapat keistimewaannya apatah lagi di dalam sujud itu kita berdoa. Sudah tentu mendapat perhatian yang sewajarnya. Semoga kita akan menjadi hamba yang benar-benar mendapat rahmat.
Wassalam.
(dari email yg di forwardkan oleh sahabat)
PERJUANGAN TERAKHIR

Perjuangan terakhir itu
Bermula setiap hari
Menuju perjuangan terakhir
Yang satu-satunya itu
Yang haqiqi lagi abadi

Perjuangan terakhir itu
Amatlah getir
Tak terjangkau akal
Jua detik sanubari
Kerna setiap yang melalui
Belum punya secangkir mimpi
Melain doa dan harapan
Untuk perjuangan terakhir
Yang hanya sekali

Perjuangan terakhir
Untuk kembali kepada Haq
Mengumpul seluruh nafas yang ada
Demi satu kesaksian
Pada dua kalimah suci
Demi satu pengabdian

Lalu
Waima getir saat itu
Ku benar harap
Kalimah itu dapatku lafazkan

al_muttaqin81
9th march 2006

Saturday, February 18, 2006


Karikatur menghina Nabi Muhammad S.A.W: Seluruh dunia bangkit membantah, kita di Malaysia bagaimana?

Assalamu'alaikum wbt, dan salam ukhuwwah buat saudara2 tercinta yang selalu meng'ESA' DIA...
Alhamdulillah, setelah sekian lama tidak meng'hidangkan' apa-apa..kini ana terpanggil untuk berkata sepatah dua..perihal dunia..setiap hari berubah warna...buat renungan dan muhasabah bersama..InsyaAllah!
Ana rasa terpanggil untuk berkongsi pandangan tentang isu yang sedang hangat diperkatakan dewasa ini..tidak lain tidak bukan isu karikatur yang menghina junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W..yang telah menyaksikan seluruh dunia bangkit membantah mengenai penyiaran karikatur yang cuba memaparkan wajah Nabi Muhammad S.A.W...masyaAllah. Akibatnya, umat Islam di seluruh dunia bangun membantah, memboikot, dan dengan tegas lagi lantang menyatakan kemarahan masing-masing...contohnya dapat kita lihat bagaimana kedutaan Denmark di beberapa buah negara telah diserang, dibakar dan diadakan tunjuk perasaan demi menyatakan ketidakpuasan hati umat Islam terhadap tindakan mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab.
Selain itu, umat Islam juga digesa supaya memboikot barangan atau apa jua produk dari dari negara Denmark itu..yang pada hemat ana, kita seharusnya dari dahulu lagi memboikot semua barang dari negara yang sememangnya ternyata jelas adalah musuh orang-orang Islam bahkan musuh agama!!!..Persoalannya ialah di tengah-tengah kemelut yang melanda dunia Islam pada hari ini, bagaimana pula situasi kita di sini? apakah kita hanya mahu berdebat di meja kopi menyumpah seranah pihak yang terlibat dan akhirnya perbincangan itu hilang begitu sahaja seperti wap kopi panas yang menghilang pabila kopi pun sejuk! ataupun kita hanya menatap paparan demi paparan mengenai protes-protes yang disiarkan di dada akhbar sambil mengeluh? bagaimana harus kita respons terhadap situasi begini?...bagaimana?
Pada ana, kita sebagai umat Islam perlu tegas menyuarakan pandangan dan pendirian kita..dan kata-kata ana ini tidak bermaksud yang ana sarankan agar kita semua pergi ke kedutaan Denmark dan melakukan tindakan yang sama seperti yang dapat kita lihat di negara-negara luar!..kerna ianya tidak lain hanya akan menguatkan lagi fakta bahawa Islam adalah agama yang penuh dengan keganasan. Oleh kerana cinta pada Islam itu sendiri maka kita seharusnya berjuang habis-habisan untuk pelihara imej Islam yang jelas membawa maksud aman, damai, selamat..itulah perkara pertama yang perlu kita jaga dan diambil berat oleh kita semua yang bergelar ummah..
Percaya atau tidak, kita sebagai umat Islam seringkali merasa marah apabila banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh musuh Islam dengan tujuan untuk menjatuhkan maruah agama suci ini..akan tetapi kita selalu terlupa pada diri kita sendiri..Islam itu wujud dan ada pada diri kita. hal demikian kerana orang bukan Islam melihat Islam pada diri orang-orang Islam! Jadi, kalau umat Islam sendiri tidak menghayati ajaran-ajaran Islam dan lebih teruk lagi mencampuradukan cara hidup Islam dengan budaya-budaya hidup songsang maka kesan besarnya ialah orang bukan Islam akan terkeliru.Mereka keliru dengan Islam yang dilaung-laungkan "ISLAM MEANS PEACE". Contohnya jelas yang dapat kita lihat pada hari ini ialah orang Islam wajib menunaikan solat, tapi berapa kerat saja yang bangun menunaikan solat subuh, masjid tidak penuh..saf yang penuh pun hanya dapat dilihat pada solat Jumaat..itupun seminggu sekali baru solat..kadang-kadang sampai bertemu 3 kali jumaat tapi tetap mereka tidak buat.
Orang Islam wajib menutup aurat..tapi dari anak gadis hinggalah kepada mak-datin-mak datin, nenek-nenek dan artis-artis tetap tidak menutup aurat..sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk luruskan rambut, ubah warna dari hitam kepada merah, biru..dan entah apa-apa lagi..bila ditegur..pantas menjeling dengan alis yang dicukur nipis lalu terlontarlah kata-kata pedas "So, What?"..tahu tak kenapa manusia tak nampak kehebatan pencipta ? sebab utamanya ialah kerana mereka telah mengubah keaslian diri mereka kepada tipu daya...sedangkan bila kembali ke tanah, dimamah ulat-ulat hingga hancur..kita hanyalah tanah...astagfirullah!
Bukan itu sahaja, sebelum membicarakan isu besar seperti penghinaan melalui karikatur Nabi, lihat saja pada akhlaq pemuda dan pemudi Islam pada hari ini..gawat!!! pergaulan yang bebas, kecanggihan teknologi dimanipulasi untuk membuat maksiat..lihat saja paparan majalah Mastika yang memaparkan penggunaan telefon bimbit berkamera untuk merakam perbuatan maksiat yang mereka lalukan..tanpa rasa malu..tanpa rasa takut..!!! apa nak jadi dengan generasi pada hari ini? masih adakah generasi Rabbani di masa hadapan jika kemelut hari ini hanya akan melahirkan manusia yang bersifat kebinatangan daripada binatang..aduhai ummah...aduhai ummah..aduhai ummah..
Kalau isu dalam negara pun kita belum dapat tangani, bagaimana pula nak membela penghinaan yang mereka buat pada Nabi? fikirkanlah...kembalilah kepada fitrahmu wahai ummah!!!Allahu akhbar! Allahu akhbar! Allahu akhbar!
Wallahu'alam.

Saturday, December 31, 2005


Duhai Tuhan ..Kau tak pernah berkira..
Tuhan
tika aku ditimpa duka
ke mana lagi..
ke mana lagi..
harusku bawa hati..
melainkan kembali ..
kembali ke jalan-Mu..
yang bercahaya..
membawa daku..
ke taman-taman syurga-Mu..

di situ tenang bertandang..
pada lubuk hati..
yang sebelumnya goncang..
duhai Tuhan..
Kau tak pernah berkira...
walau dosa selalu ku pungut..
tapi taubatku..
tetap kau terima..

duhai Tuhan..
Yang Maha Pengampun..
sesungguhnya..Kau tak pernah berkira..
pada hamba-Mu ini..
yang selalu berkira-kira..
dalam taubat yang sering termungkir...
ampunkan daku Wahai Allah!!!..

ikhlas
almuttaqin

Monday, August 08, 2005

~KITA SEBENARNYA~
Kita sebenarnya lebih gembira menyambut 1hb Januari daripada 1 Muharam
kita sebenarnya lebih tahu apa itu 14 Februari daripada 12 Rabiulawal
kita sebenarnya lebih membesarkan hari Sabtu, Ahad daripada hari
Jumaat
kita sebenarnya lebih khusyuk mendengar lagu daripada mendengar azan
kita sebenarnya lebih suka lepak, tengok tv daripada sembahyang
kita sebenarnya lebih tahu tentang artis pujaan kita daripada nama dan kisah nabi-nabi Allah
kita sebenarnya lebih suka sebut hello daripada melafazkan ucapan assalamu'alaikum
kita sebenarnya lebih suka menyanyi daripada berwirid, bertahmid dan berzikir
kita sebenarnya lebih suka memuji manusia daripada memuji Pencipta
kita sebenarnya lebih suka membaca majalah hiburan daripada membaca al-Quran dan buku-buku agama
kita sebenarnya lebih suka ke konsert daripada menghadiri ceramah agama dan majlis-majlis ilmu
kita sebenarnya lebih suka memaki, mengumpat orang daripada menyebut MasyaAllah
kita sebenarnya lebih suka mencari keburukan daripada memuji kebaikan manusia
kita sebenarnya lebih suka membuat kemungkaran daripada berbuat kebaikan
kita sebenarnya lebih bangga dengan kejahilan daripada bersyukur dengan keimanan dan berusaha menambahkan keimanan kita
kita sebenarnya lebih cintakan urusan dunia daripada urusan akhirat

TETAPI bila orang tanya arah tujuan kita, kita pasti akan menjawab KITA SEBENARNYA..lebih suka menuju ke syurga daripada neraka. Tanya pada diri sendiri..layakkah kita menghuni syurga milik Allah SWT?

(karya dipetik)

al_muttaqin: pastikan dunia dan akhirat kita seimbang..yang penting pastikan redho Allah bersama kita sentiasa..amin!

~ALLAH ITU DEKAT~

~ALLAH ITU DEKAT~
Islam merupakan agama samawi yang sungguh indah dan tiada agama yang boleh menandingi keindahan yang tersebar dalam penghayatan agama Islam. Ia bukan sahaja satu agama yang diredhai Allah, malah satu cara hidup yang diteladani sepanjang zaman dan membawa rahmat serta kebahagiaan kepada sesiapa yang berpegang kepadanya.

Islam mendekatkan manusia dengan Penciptanya melalui banyak cara dan setiap perbuatan yang dilakukan bila beserta dengan niat kerana Allah, akan menjadi ibadah yang mendatangkan kebaikan dan rahmat kepada pengamalnya.

Sesungguhnya antara manusia dengan Allah SWT, tiada batas yang menghalangnya. Setiap apa yang dilakukan oleh manusia sentiasa berada dalam pandangan dan pemerhatian Allah. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bahawa kamu menyembah Allah, seolah-olah kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat kamu". Keimanan kita sahaja yang dapat membawa kepada keyakinan tentang hampirnya Allah kepada kita. Jika tidak, manusia akan berbuat sesuka hati dan kehendaknya tanpa rasa malu kepada Allah.

Senario yang berlaku pada hari ini di mana kebanyakan umat Islam tidak lagi merasakan bahawa Allah itu dekat dengan mereka dan amat menyedihkan, mereka tanpa segan silu melakukan kemungkaran dan maksiat di sana-sini, malah berbangga dengan dosa yang dilakukan. Mengapa ini terjadi? Apakah ketakutan kepada Allah sudah ditelan keasyikan dunia tanpa menghiraukan balasan yang akan diterima di akhirat.

Beberapa contoh akhlak yang sudah hilang malunya dan kebanggaan manusia kepada dosa yang dilakukannya tanpa merenung seksaan yang bakal diterima:

~meminum arak atau seumpamanya dengan berleluasa
~menaja fesyen-fesyen pakaian yang mendedahkan aurat, yang menggalakkan manusia memperagakan kecantikan yang bercanggah dengan tuntutan syarak dan mengakibatkan keinginan nafsu yang melonjak untuk bersaing
~permainan judi yang semakin meningkat tanpa mengira peringkat umur
~kebebasan pergaulan antara lelaki dan perempuan tanpa mengira tempat dan masa yang akhirnya membawa kepada keruntuhan akhlak yang serius seperti penzinaan, perlacuran, bersekedudukan dan sebagainya
~perbuatan sumbang mahram yang jelas meruntuhkan institusi kekeluargaan yang murni, akibat nafsu serakah yang tidak mengenal hak dan kewajiban
~pembunuhan yang sewenang-wenangnya seolah-olah nyawa manusia seperti barangan yang tiada nilai
~penipuan dalam banyak perkara yang melibatkan ekonomi, sosial, politik, pemikiran dan sebagainya

Hubungan manusia dengan Allah tidak terbatas dan dapat dilakukan di serata tempat dan waktu tanpa perlu kepada sebarang perantaraan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 186 yang kira bermaksud:"Dan bila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka katakanlah bahawa Aku adalah dekat."

Mudah dan tidak meyusahkan kerana kita boleh berdoa dan megingati Allah bila-bila masa, baik ketika berdiri, berbaring, berjalan, sihat atau sakit; senang atau susah dan semua ini tidak menuntut kita untuk membeli dengan wang ringgit. Kenapa kita sukar untuk melakukannya?
Kebanyakan umat Islam pada hari ini, ingin lari dari Allah atau menjauhkan diri dari kasih sayang Allah. Kasih sayang Allah amat hampir kepada semua orang muslim, cuma kita yang tidak mahu merenung, memerhati dan menhayati setiap sesuatu yang diberikan kepada kita.

Antara pengalaman yang boleh kita renung sebagai menunjukkan kasih sayang Allah dan hampirnya Allah kepada kita supaya boleh dijadikan iktibar dan mungkin ia pernah berlaku dalam kehidupan kita dahulu, iaitu:
~ada orang yang berdoa, segera dimakbulkan doanya
~ada doa yang ditunda sesuai dengan kegunaan dan kemantapannya
~ada pula doa yang dialihkan seperti terhindarnya seseorang atau ahli keluarga dari bahaya, kerugian, bencana, fitnah dan kematian
~ada orang berharap mendapat harta benda yang melimpah atau kekayaan, tetapi Allah kurniakan anak yang soleh kerana jika diberikan harta atau kekayaan seseorang itu mungkin akan lupa daratan
~ada orang yang minta kedudukan atau pangkat, tetapi Allah alihkan kepada menjadi orang yang berilmu pengetahuan kerana jika pangkat yang dikejar maka ianya tidak menambah apa-apa melainkan kesombongan dan bertambah-tambah jauh kita daripada Allah
~ada orang yang ditimpa kesusahan dan tiada orang yang ingin membantunya, tetapi Allah datangkan pertolonganNya melalui arah yang tidak-tidak disangka-sangkanya

Banyak lagi perkara yang menunjukkan betapa hampirnya Allah kepada kita dan tiada halangan yang menyekat hubungan ini. Sejauhmanakah kita berusaha untuk mendekatkan diri kita kepada Allah tanpa meletakkan sebarang syarat dan beruapaya menahan godaan nafsu yang sentiasa membendung diri manusia daripada mencari kebenaran dan hidayah Allah.

Jangan sampai nyawa hampir terkorban, barulah kita ingin kembali kepada keinsafan. Kenapa perlu tunggu hingga saat yang kita ingin tentukan. Pupuklah rasa cinta kepada Allah tanpa bertangguh-tangguh kerana kita akan berhadapan dengan Pencipta kita bila masanya kita dipanggil dan dihadapkan ke hadapan-Nya. Tiada apa yang boleh membantu kita kecuali amalan ynag sudah kita tanam di dunia dan hasilnya kita akan tuai di akhirat. Berpadalah dengan dunia dan rebutlah kasih sayang Allah dengan kemampuan diri agar terselamat kita di dunia dan akhirat.

(karya dipetik)

al_muttaqin: dari Allah kita datang dan kepada-Nya kita kembali...muhasabah selalu!



~TANDA-TANDA CINTA PADA ALLAH~


~TANDA-TANDA CINTA PADA ALLAH
~cinta pada kematian

~ bermunajat kepada Allah

~sentiasa berzikir kepada Allah

~berjuang di jalan Allah

~melakukan ketaatan dirasakan nikmat

~tidak berduka dengan kehilangan sesuatu

~menundukkan nafsu

~menjalinkan kasih sayang sesama makhluk

~takut berpaling daripada Allah

(karya dipetik)

al_muttaqin: marilah sama-sama kita 'check' ada tidak ciri-ciri di atas dalam diri kita!
~CINTAILAH ALLAH S.W.T~
cinta pada dunia, dunia akan pergi, cinta pada manusia, manusia akan mati, cintalah pada Allah kerana Dialah yang kekal abadi.

Hari ini kita begitu asyik dengan cinta. Cinta pada harta, cinta pada dunia dan cinta pada kekasih. Sehinggakan Laila dan Majnun, Romeo dan Juliet menjadi idola. Kita juga mengaku cinta kepada Yang Esa yang pada hakikatnya tidak pernah terlintas di sanubari. Buang emak buang saudara kerana kasih hamba turutkan.

Tetapi kita kurang rasa cinta kepada Yang Maha Esa. Kita mengaku menyintai Allah tetapi tidak pernah melaksanakan tanggungjawab kepada-Nya. Acap kali kita melafazkan cinta hingga lalai untuk membuktikan cinta kita kepada Yang Maha Esa. Sekadar sembahyang lima waktu yang kadang kala kita abaikan. Adakah itu bukti kita cinta kepada Allah? Sekadar berpuasa untuk menahan lapar dan dahaga, atau mengeluarkan zakat atas desakan, itukah yang dipanggil cinta abadi kepada-Nya?

Amalan kita hanyalah ala kadar sahaja. Sedarlah amalan yang kita bangga-banggakan selama ini sebenarnya masih jauh lagi untuk membuktikan cinta kita kepada Allah. Perlu kita ingat jika kita masuk ke syurga Allah nanti bukanlah kerana amalan yang kita buat sebaliknya kerana RAHMAT ALLAH kepada kita. Oleh itu, kita sepatutnya selalu berasa malu pada Allah kerana amalan dan cinta kita yang 'tak seberapa' itu. Hal demikian kerana cinta sebenarnya ialah cinta yang dipenuhi keikhlasan begitu juga dengan amalan kita kepada-Nya.

(karya dipetik)

al_muttaqin:moga menjadi peringatan kita bersama

~10 TANDA HATI KITA MATI~

1 mengaku kenal Allah SWT tetapi tidak menunaikan hak-hak-NYA

2 mengaku cinta kepada Rasulullah SAW tetapi mengabaikan sunnah baginda

3 membaca al-Quran tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya

4 memakan nikmat-nikmat Allah SWT tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-NYA

5 mengaku syaitan itu musuh tetapi tidak berjuang menentangnya

6 mengaku adanya nikmat syurga tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya

7 mengaku adanya seksa neraka tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya

8 mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa tetapi masih tidak bersedia untuknya

9 menyibukkan diri membuka keaiban orang lain tetapi lupa akan keaiban diri sendiri

10 menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara seIslam tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya

(karya dipetik)

al_muttaqin: sama-samlah kita muhasabah diri kita moga hati kita kan selalu hidup bersama Ilahi

~ZIKIR MEMBERSIHKAN HATI~

Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang mana baginda telah bersabda yang berbunyi :" bagi segala sesuatu ada penggosok untuk membersihkan dan menghilangkan kekotorannya (umpamanya untuk membersihkan badan dan pakaian digunakan sabun dan untuk menghilangkan karat besi digunakan api dan lain-lain). maka demikian itulah penggosok (pembersih) hati ialah zikrullah."

Hadis ini juga menceritakan bahawa zikrullah adalah lebih utama daripada yang lain-lain. zikir itu dianggap sebagai pembersih hati yang kotor, kerana setiap ibadat dikira dalam erti kata yang sebenarnya apabila ibadat-ibadat itu dikerjakan dengan ikhlas dan pencapaian ikhlas itu adalah bergantung kepada hati yang jernih lagi suci.

Oleh itu, sebahagian ulama tasawuf memberitahu bahawa zikir yang dimaksudkan di dalam hadis ini ialah zikir qalbi (zikir dalam hati) bukan zikir lisani (zikir dengan lidah). dengan mengerjakan zikir qalbi itu hati seseorang manusia terhubung dengan ALLAH buat selama-lamanya. Hakikat ini tidaklah dapat disangkal lagi bahawa keadaan yang disebutkan ini adalah lebih utama dari segi segala ibadat kerana tercapai sama ada anggota-anggota zikir mahupun anggota-anggota batin. Anggota-anggota ini semuanya adalah menurut hati. Jika hati itu berhubung dengan sesuatu maka anggota -anggota lain dengan sendirinya akan terhubung dengannya. Keadaan para pencinta tidaklah tersembunyi kepada sesiapa pun...

(karya dipetik)

al_muttaqin: sesungguhnya dengan mengingati Allah ..hati-hati akan menjadi tenang!